VIDEO GEOGRAHPY

Loading...

21 Mei 2010

GEMPA BUMI

APAKAH YANG DIKATAKAN GEMPA BUMI

Gempa Bumi sama seperti taufan bukan hanya satu tenaga yang besar tetapi masih menjadi misteri bagaimana untuk meramal dan menduga.

Bagai memahami paras kerosakan yang berkaitan dengan gempa bumi kita perlu melihat gempa yang berlaku sebelumnya.

Jika kita melihat kembali ke 27 Julai 1976 di Tangshan, China, satu gempa bumi besar yang menyebabkan 255,000 orang terkorban.

Dalam tragedi berkenaan dianggarkan 690,000 orang cedera serta bangunan hilang dalam sekelip mata.

Skala kemusnahan sukar digambarkan tetapi semua skala gempa bumi terus berlaku sepanjang masa.

Apakah yang menyebabkan gempa bumi?

Lapisan luar bumi diperbuat daripada lapisan nipis yang terbahagi kepada beberapa bahagian atau plat tektonik.

Hujung setiap plat tektonik adalah sempadan yang akan bergesel antara satu sama lain dan dalam tempoh masa tertentu tekanan yang bertambah akan menyebabkan gegaran atau gempa bumi.

Kekuatan gempa bumi diukur menggunakan mesin yang dinamakan seismograf. Mesin ini merekodkan gegaran dan saintis boleh mendapatkan ukuran kuasa gempa dalam skala ritcher.

Nombor 1 hingga 10 dan nombor 1 adalah gempa bumi kecil yang biasa berlaku setiap hari dan biasanya manusia tidak merasainya.

Nombor 7 hingga 10 adalah gempa bumi paling kuat yang berlaku dalam masa 10 hingga 20 tahun.

SIKLON TROPIKA

Maksud Sikon Tropika

Siklon Tropika adalah ribut ganas yang berputar dan berdiameter beberapa ratus kilometer yang terbentuk di perairan tropika. Melalui satelit, ia dilihat seperti satu sistem gegelung ketat penuh kuasa dengan jalur awannya melingkar keluar. Bagi siklon tropika matang, wujud satu kawasan di pusatnya dikenali mata yang udaranya secara relatif adalah tenang dengan sedikit awan. Kawasan ini dikenali sebagai mata bagi siklon tropika.

Siklon Tropika Dikelaskan Seperti Berikut:

Lekukan Tropika – satu sistem terdiri daripada awan dan ribut petir yang berputar dengan kelajuan angin maksimum 63kmpj

Taufan – Satu sistem cuaca tropika hebat yang berputar dengan kelajuan angin maksimum 118kmpj atau lebih

Ribut Tropika – Satu sistem ribut petir kuat yang berputar dengan kelajuan angin maksimum antara 64 – 117kmpj

Bagaimana Siklon Tropika Terbentuk?

Siklon tropika terbentuk di kawasan lautan yang suhu permukaanya 26° C atau lebih. Di rantau Asia, siklon tropika lebih dikenali sebagai taufan. Ia terbebtuk semasa musim panas Hemisfera Utara di mana suhu di Lautan Pasifik adalah panas dan sesuai untuk aktiviti perolakan. Sistem tekanan rendah terbentukl di lautan tropika yang panas dan bergerak ke arah barat, ia mengembang daripada lekukan tropika membentuk ribut tropika dan akhirnya, menjadi taufan yang matang.

Perkembangan lekukan tropika kepada taufan bergantung kepada tiga keadaan:

• Suhu tinggi di permukaan laut
• Kelengasan
• Corak angin berhampiran permukaan laut yang melingkarkan udara ke arah dalam

Semasa pembentukan siklon, haba dan tenaga terkumpul berhubungan dengan air laut yang panas. Haba dan kelengasan yang terhasil oleh penyejatan permukaan laut memberi tenaga kepada siklon seperti kuasa enjin haba raksasa. Jaluran ribut petir yang terbentuk membolehkan udara menjadi lebih panas dan naik meninggi di dalam atmosfera.

Mata siklon berdiameter antara 30 – 100 kilometer merupakan pusat tekanan rendah ribut tropika. Kawasan di mana berlakunya aktiviti paling aktif adalah di sekeliling mata, ia dikenali sebagai dinding mata. Di sini, udara melingkar ke arah atas dan ke arah luar dengan kelajuan yang meningkat. Sebahagian daripada udara bergerak ke arah dalam dan tenggelam ke dalam mata, membentuk kawasan bebas awan.


Bilakah Taufan Biasanya Berlaku?

Taufan biasanya muncul di barat Pasifik Utara pada awal Mei, bilanganya bertambah dan mencapai maksimum di bulan September. Kebanyakan taufan terbentuk di kawasan latitud antara 5º U dan 20º U, dan longitud antara 130º T dan 170º T. Taufan biasanya bergerak menghala ke arah barat melintasi Filipina dan seterusnya melencong ke arah timur laut menuju daratan Asia.

Apakah Taufan Memberi Kesan Kepada Malaysia?

Taufan jarang berlaku di selatan latitud 5º U. Di Malaysia tidak wujud landaan terus taufan. Akan tetapi, semasa perjalananya melintasi Filipina menuju Laut China Selatan, Malaysia menerima kesan ekor dalam bentuk angin kencang dan hujan ribut yang kerap melanda Sabah di Malaysia Timur. Kadang-kdang taufan yang berada di sekitar pantai vietnam juga memberikan kesan yang sama kepada negeri-negeri di barat laut Semenajung Malaysia.

Ribut tropika GREG yang melanda pantai barat Sabah pada malam 25 Disember 1996 dan ribut tropika Vamei yang melanda pantai tenggara Johor pada 27 Disember 2001 adalah dua kes pengecualian yang jarang sekali berlaku. Ribut yang bertiup pada kelajuan 70 kmpj itu telah memusnahkan rumah-rumah dan mengganas selama beberapa jam sebelum menjasi lemah.

Bahaya Berkaitan Taufan

Luruan Ribut

Suatu kubah air yang besar, lebarnya antara 80 – 160km yang melanda pinggir pantai berhampiran tempat taufan bertemu daratan. Taufan yang kuat dan perairan yang cetek akan menghasilkan luruan yang lebih tinggi. Luruan ribut mengancam nyawa dan harta benda terutamanya di kawasan pantai.

Hujan Lebat

Hujan mencurah-curah menyeluruh, boleh menyebabkan banjir yang memusnahkan.

Angin Kencang

Daya angin taufan boleh memusnahkan bangunan dan struktur binaan yng tidak kukuh. Serpihan runtuhan akan berterbangan dalam taufan. Langkisau kuat boleh menumbangkan pokok dan memutuskan talian elektrik yang boleh menyebabkab gangguan besar

KEJADIAN BANJIR

Faktor-Faktor Berlaku Banjir

Banjir berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Antara faktor-faktor berlaku banjir adalah:-

1.Hujan yang berterusan.

Hujan yang berterusan tanpa berhenti-henti akan menyebabkan banjir berlaku. Di kawasan-kawasan rendah, air hujan akan dialirkan ke sungai. Sungai yang dipenuhi air akan melimpah keluar sehingga menyebabkan kawasan tanah rendah dipenuhi air.

2.Proses pembandaran.

Proses pembandaran menyebabkan banyak kawasan yang dipermodenkan. Kawasan-kawasan tanah rendah telah ditebus guna dengan mengambil tanah dari kawasan bukit. Ada juga anak-anak sungai yang ditimbus untuk dijadikan tapak bangunan.Aktiviti-aktiviti seperti ini merupakan faktor penyebab berlakunya banjir. Jika dahulu anak-anak sungai dan lembah dijadikan kawasan aliran air, kini kawasan tersebut telah ditimbus dengan tanah. Apabila hujan turun, air akan mengalir dari kawasan bukit ke kawasan yang rendah dan kemudian bertakung. Lama-kelamaan air akan bertambah dan banjir kilat akan berlaku.

3.Hakisan sungai.

Hakisan sungai yang kerap berlaku disebabkan oleh dua faktor iaitu hakisan berlaku secara semula jadi dan pembuangan sisa domestik manusia. Faktor semula jadi berlaku apabila hujan turun dengan lebat, air akan mengalir deras and menghakis tebing-tebing sungai. Akhirnya tanah tebing akan runtuh dan membentuk satu mendapan di dasar sungai. Seterusnya sungai akan menjadi cetek. Begitu juga dengan aktiviti manusia yang suka membuang sisa-sisa domestik seperti sampah-sarap dan sisa-sisa industri ke dalam sungai boleh menyebabkan sungai menjadi cetek dan pengaliran air tersekat. Apabila hujan lebat turun, sungai yang telah menjadi cetek akibat hakisan semula jadi atau pencemaran tidak dapat menampung atau megalirkan air hujan yang banyak. Akhirnya air sungai akan melimpah ke tebing dan dengan ini banjir akan berlaku.

4.Hutan tadahan.

Hutan merupakan satu kawasan yang menempatkan pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan. Selain itu hutan juga boleh dijadikan sebagai pengimbang ekosistem dunia dengan merendahkan kadar suhu. Hutan menyerap air hujan yang turun ke permukaan bumi dengan kadar antara dua peratus hingga 20%. Kemudian air yang diserap akan dialirkan ke anak-anak pokok melalui akar. Ada juga proses pemeluwapan dilakukan dengan membebaskan semula titisan-titisan air ke udara. Dengan ini berlaku kitaran air secara semula jadi.

5.Pemusnahan hutan menyebabkan hujan terus turun ke bumi tanpa diserap oleh tumbuhan. Hujan yang turun dengan lebat menyebabkan air mengalir dengan banyak ke dalam sungai. Sungai tidak mendapat menampung air hujan dalam jumlah yang banyak. Pada masa ini limpahan air sungai akan berlaku mengakibatkan banjir.

6.Sistem perparitan tidak terancang.

Masalah banjir yang sering melanda bandar adalah disebabkan kekurangan sistem perparitan yang dibina serta ianya terlalu kecil dan cetek. Jumlah air yang banyak menyebabkan air melimpah keluar dari parit menyebabkan banjir kilat berlaku.

TSUNAMI

Apa Itu Tsunami?




Tsunami adalah satu perkataan Jepun yang bermaksud ‘ombak laut pelauhan’. Tsunami merupakan perkataan dari bahasa Jepun yang membawa erti "ombak pelabuhan". Dalam bahasa Inggeris, gelombang tsunami dikenali sebagai ombak pasang surut (Tidal wave). Gelombang tsunami sebenarnya merujuk kepada ombak besar yang membawa kemusnahan kepada bangunan tepi pantai.



Tsunami merupakan ombak besar yang disebabkan oleh kejadian gempa bumi yang terjadi di dasar laut. Tanah runtuh, ledakan gunung berapi, letupan dan juga hentaman bahan kosmik seperti meteorit juga boleh menghasilkan tsunami. Ombak ini bergerak dengan laju beberapa ratus kilometer sejam dan dalam perjalanannya akan menaikkan dan menurunkan paras air laut.



Dalam lautan yang dalam, gelombang tsunami mempunyai amplitud ketinggiannya hanya beberapa sentimeter atau kurang sahaja. Oleh kerana jarak dari puncak ke puncak adalah ratusan batu, pergerakan turun naik tidak dapat dilihat dan dirasai oleh kapal yang belayar diatasnya dan mungkin tidak menyedari kejadiaanya.





Apabila gelombang tsunami tiba di kawasan lautan yang kedalamannya makin mengurang, halajunya akan turut menjadi kurang. Apabila gelombang ini sampai ke kawasan pantai, hanya satu cara untuk mengabadikan tenaganya adalah dengan menambahkan ketinggian ombak.





Bagi penduduk Malaysia, kita beruntung disebabkan kita berada jauh daripada kawasan gunung berapi. Malaysia tidak terdedah kepada ancaman bencana alam gunung berapi dan bencana alam yang seiring dengannya seperti gelombang tsunami, bagaimanapun kita perlu tahu mengenai bencana alam memahami bumi dan alam sekitar kita.



Di Indonesia, Pulau Jawa, pantai yang sering dilanda tsunami adalah pantai selatan Jawa Barat, Pantai Selatan Cilacap dan Pantai Selatan Jawa Timur. Sejak tahun 1990, Indonesia mencatat 15 kali bencana alam dilanda tsunami yang berlaku di sepanjang zone-mendak serta zone aktif seismik.





Punca Tsunami



Ombak laut kebiasaannya di sebabkan oleh pergerakan angin yang menghasilkan ombak yang menghempas ke pantai. tetapi gelombang tsunami merupakan gelombang laut yang teramat kuat yang terhasil oleh letupan gunung berapi, tanah runtuh bawah laut, gempa bumi, dan hentaman oleh asteroid atau komet pada permukaan laut.



Gelombang tsunami mampu bergerak sejauh seribu batu merentasi lautan dan masih mampu menghancurkan bandar berhampiran laut, memusnahkan dan mengakibatkan kehilangan nyawa yang tidak terkira jumlahnya. Gelombang tsunami yang menyebabkan kehilangan jiwa paling ramai direkodkan berlaku selepas letupan gunung berapi Krakatoa pada tahun 1883. Dianggarkan seramai 36,000 people mati disebabkan letupan tersebut yang menghasilkan ombak setinggi 12 tingkat bangunan. Kebanyakannya disebabkan oleh ombak tsunami yang melanda perkampungan persisiran pantai, sejauh sehingga 120 kilometer dari gunung berapi Krakatoa di Selat Sunda Indonesia.



Selain itu jiwa yang terkorban akibat tsunami di Indonesia adalah seperti berikut, 19 Ogos 1977 tsunami di daerah Sumba mengorbankan seramai 189 nyawa. 12 Disember 1992 di daerah Flores, gelombang tsunami mengorbankan 2,100 nyawa dan pada 3 Jun 1994 bencana tsunami melandaa daerah Banyuwangi mengorbankan seramai 208 orang.



Bagaimana Tsunami Terhasil



Punca utama gelombang tsunami adalah pergerakan muka bumi dasar laut yang berpunca daripada gempa bumi dasar laut. Gempa bumi tsunami berlaku pada zon terbenam "subduction zones" di mana kepingan kerak bumi atau "lithosphere" yang dikenali sebagai plak tetonik bertembung sesama sendiri menyebabkan satu daripadanya terbenam di bawah yang satu lagi. Terdapat zon terbenam "subduction zones" di pinggir negara Chile, Nicaragua, Mexico, dan Indonesia yang mencetuskan tsunamis pembunuh dalam tempoh 100 tahun lalu. Di lautan Pasifik, terdapat rekod 17 tsunami dari tahun 1992 sehingga 1996 yang bertanggungjawab mengakibatkan kehilangan 1,700 nyawa. Negara Indonesia terdedah kepada bencana alam disebabkan kedudukannya yang merupakan pertembungan 3 plat tetonik, iaitu kepingan Euro-Asia, kepingan Indo-Australia dan kepingan Pasifik. Selain ketiga kepingan yang besar itu, Indonesia juga menjadi pertemuan plak tetonik dengan skala kecil seperti kepingan Filipina.



Apabila kepingan kerak bumi terbenam kedasar, pergerakannya bergerak tersekat-sekat - melekat sekejab sebelum tergelincir. Apabila ia terlekat pada tebing benua, tekanan terhasil. Apabila kawasan yang terlekat terbebas, sebahagian daripada dasar laut mungkin melantun naik seperti papan anjal, ketika tekanan terbebas; sementara bahagian lain mungkin tenggelam. Seketika selepas gempa bumi, air yang tertolak membentuk gelombang dan tsunami pun terhasil.



Zon terbenam "subduction zones" terdapat di seluruh dunia, tetapi lokasi yang paling dikenali adalah di sepanjang lingkaran Cincin Api Pasifik. "Pacific Ring of Fire". Lingkaran Cincin Api Pasifik merupakan sempadan pertembungan antara dua plak tetonik. Lingkaran Cincin Api Pasifik terletak sepanjang pantai barat Tengah dan Selatan Amerika, Jepun, dan Filipina, merentasi New Zealand, ke lautan Atlantik. Gunung berapi juga wujud di tengah laut sepanjang rabung laut. Rabung Tengah Atlantik merupakan contoh gunung berapi dasar laut. Apabila gunung berapi dasar laut ini meletus, ia mampu menghasilkan gelombang tsunami.



Dalam lautan lepas, gelombang tsunami mencecah kelajuan 500 batu sejam, selaju jet penumpang. Tetapi di lautan lepas, gelombang tsunami itu tidak dapat dibezakan dengan ombak biasa. Di lautan dalam, ombak tersebar dan merunduk, dengan jarak beratus batu antara puncak ombak yang hanya kelihatan beberapa kaki tinggi. Tetapi sebenarnya, puncak gelombang tsunami hanyalah hujung jisim air menggunung yang bergerak. Berbeza dengan ombak yang disebabkan oleh angin yang berkesan pada lapisan atas air, gelombang tsunami terbenam sehingga beribu kaki di dalam laut.



Oleh kerana pergerakan ombak begitu kuat, dan sifat pedam air, gelombang tsunami mampu bergerak beribu batu dan kehilangan hanya sedikit tenaga. Sebagai contoh, gelombang tsunami yang disebabkan oleh gempa bumi di persisiran Chili pada tahun 1960 menghasilkan gelombang tsunami yang mempunyai cukup tenaga untuk membunuh 150 di Jepus setelah bergerak selama 22 jam sejauh 10,000 batu. Gelombang tsunami tersebut kemudiannya berulang-alik menyeberangi lautan selama beberapa hari.



Apabila gelombang tsunami sampai kepantai, ia menjadi perlahan disebabkan dasar laut menjadi cetek, dan kehilangan laju ini diiringi oleh peningkatan dalam ketinggian ombak. Ombak tersebut terhimpit antara satu sama lain seperti akordian dan meningkat naik. Bergantung kepada jenis punca gelombang tsunami itu, gelombang tsunami boleh menyebabkan air laut surut menyebabkan ikan tertinggal di dasar lautan. Ini menarik orang ramai untuk berkumpul melihat keadaan ini sebelum gelombang tsunami menghentam menyebabkan kematian mereka.



Gelombang tsunami juga mampu melanda dengan tiba-tiba tanpa sebarang amaran. Gelombang tsunami yang melanda tidak bergulong dikemuncak seperti ombak biasa. Mereka yang terselamat menggambarkan gelombang tsunami sebagai dinding air yang gelap. Ombak gergasi tsunami yang terdiri daripada jisim air yang menggunung ini akan menghentam ke pantai dan menenggeamkan kawasan persisiran, menumbangkan pokok seperti ranting kering, merobohkan tembok batu, dan rumah api, dan memusnahkan bangunan seperti bangunan permainan.



Bentuk permukaan dasar laut seperti berbentuk parit, dan persisiran pantai memainkan peranan penting dalam menentukan jenis glombang tsunami yang terhasil, kadang kala dengan keputusan yang mengejut dan merbahayakan Pada tahun 1993, satu glombang tsunami menghentam bandar, di Jepun, ombak purata setinggi 15 hingga 20 meter (50 - 65 kaki). Tetapi pada suatu tempat, ombah tertumpu oleh bentuk 'V' memampatkan ombak dalam ruang yang semakin sempit dan akhirnya menghasilkan gelombang tsunami setinggi 32 meter (90 kaki) dari aras laut, setinggi bangunan 8 tingkat.



Bagaimana Gempa Bumi Boleh Menghasilkan Tsunami?



Gempa bumi merupakan salah satu sebab utama yang biasanya menghasilkan tsunami. Tsunami akan terhasil apabila dasar lautan dengan tiba-tiba berubah kedudukan yang akan menyebabkan air berkocak kuat. Gempa bumi tektonik adalah gempa bumi yang biasanya akan menyebabkan kecacatan atau perubahan pada kerak bumi; apabila gempa bumi terjadi di dasar lautan, air yang berada dikawasan kejadian akan berubah dari kedudukan keseimbangannya.





Gelombang akan terhasil dari perubahan jisim air, yang bertindak dibawah pengaruh graviti yang cuba untuk mengembalikan keseimbangan kedudukannya. Apabila kawasan dasar laut yang berubah kedudukan (terangkat atau turun) adalah luas, tsunami akan terhasil. Gelombang yang terhasil dapat bergerak dengan pantas.



Langkah Berjaga-Jaga



Pada masa kini tidak terdapat banyak yang dapat dibuat oleh mereka yang berhadapan dengan gelombang tsunami. Di kepulauan Jepun, kerajaan telah membina benteng dipersisiran pantai untuk menahan bandar dari bahaya gelombang tsunami, tetapi bagi orang perseorangan, tidak banyak yang dapat dibuat oleh mereke kecuali mengosongkan kawasan yang dijangka akan dilanda tsunami.



Penduduk dipersisiran pantai dikawasan yang sering menghadapi tsunami juga perlu pergi kearah tanah tinggi apabila berlaku gempa bumi atau letusan gunung berapi bagi yang tinggal berhampiran gunung berapi. Mereka juga perlu mengelakkan dari pergi ke arah pantai sekiranya berlaku tanda-tanda awal tsunami seperti air yang surut secara tiba-tiba.



Tsunami juga mampu melanda beberapa kali, oleh itu adalah tidak digalakkan untuk pergi ke kawasan pantai untuk melihat kerosakan selepas ombak tsunami pertama melanda. Ini adalah untuk mengelakkan dilanda ombak tsunami yang berikutnya.

JEREBU

Apakah Itu Jerebu?




Jerebu disebabkan oleh zarah terampai di dalam atmosfera. Pada kepekatan yang tingg, zarah ini terserak dan menyerap cahaya matahari menyebabkan ketampakan mengufuk mengurang serta menjadikan atmosfera kelihatan pendar baiduri.



Jerebu tidak hanya terbatas di kawasan bandar tetapi juga di luar bandar. Zarah yang menyebabkan fenomena jerebu berasal daripada pelbagai sumber yang terhasil secara semulajadi atau aktiviti manusia.



Zarah-zarah terhasil daripada aktiviti manusia seperti:



Pembakaran terbuka

Pembukaan tanah

Penggunaan kenderaan bermotor

Pembakaran bahan api industri



Jerebu di Malaysia



Di kawasan tropika , angin biasanya bertiup perlahan. Bagi tempoh tertentu terutamanya semasa monsun barat daya, keadaan atmosfera sangat stabil dimana pergerakan udara mengufuk dan menegak berkurangan. Dalam keadaan ini, pembentukan awam adalah tidak aktif dan menyebabkan cuaca menjadi kering.



Faktor-faktor yang membantu pembentukan jerebu:



Tempoh cuaca kering yang panjang

Keadaan atmosfera yang stabil

Sumber pencemaran yang pelbagai
Zarah-zarah yang bebas di atmosfera akan terperangkap dalam jisim udara yang terapung dan meningkatkan kepekatannya yang menyebabkan keadaan atmosfera berjerebu. Di Semenanjung Malaysia, keadaan berjerebu biasanya berlaku dari bulan Januari ke Februari dan Jun ke Ogos. Sebaliknya, semasa Monsun Timur Laut, angin lengas timur laut bertiup kuat dari Laut China Selatan mempunyai kelembapan tinggi sering membawa hujan di daratan, oleh itujerebu jarang kelihatan.


Bagaimana Jerebu Menghilang?



Dalam keadaan atmosfera yang berubah-ubah, terdapat hari yang berjerebu dan cerah. Apakah yang menyebabkan perubahan ini? Bila keadaan berjerebu, zarah-zarah di atmosfera disingkirkan melalui beberapa proses iaitu:



Pemendapan – zarah yang lebih berat mendap ke bumi melalui pemendapan graviti.

Basuhan hujan (rainout) – pemeluwapan wap ke atas zarah membentuk titis air yang akhirnya menghasilakan awan.



Cucian (washout) – zarah disingkirkan melalui pelanggaran dan pencantuman dengan titisan hujan.



Pergolakan – zarah jerebu di paras atmosfera tinggi lebih senang terserak dan tersebar. Hujan lebat atau ribut petir yang menyeluruh dengan arus menaik dan menurun yang kuat boleh menyingkirkan jerebu dengan berkesan.

Tempoh hujan renyai yang singkat biasanya tidak berkesan dalam menghilangkan jerebu teruk.

Adakah Jerebu Berbahaya?



Jerebu berasal daripada sumber semulajadi seperti garam laut dan tanah adalah tidak memudharatkan manusia. Jerebu nipis dan sementara yang wujud di kebanyakan bandar tidak memberi kesan serius pada kesihatan jangka panjang penduduk. Namun, episod jerebu yang teruk boleh membahayakan kesihatan. Kejadian terdahulu melaporkan peningkatan kejadian iritasi mata dan kerongkong serta kesukaran bernafas kepada mereka yang sensitif.

KEPENTINGAN LAPISAN OZON

Kenapa Lapisan Ozon Penting ?




Selain mengawal peredaran suhu di dalam atmosfera, lapisan ozon juga sebenarnya mempunyai kepentingan menyerap radiasi sinaran ultra ungu (UV) yang tinggi daripada matahari sebelum sampai ke permukaan bumi.



Ini kerana, pancaran berbentuk UV spektrum ini sebenarnya mempunyai jarak gelombang yang lebih pendek daripada cahaya nyata atau cahaya nampak iaitu di antara 280 hingga 315 nanometer (nm) boleh merosakan hampir semua kehidupan.



Kajian saintis mendapati, ketika ini lapisan ozon semakin mengalami kerosakan dan menipis kesan penggunaan gas klorofluorokarbon (CFC) secara tidak terkawal.



Gas CFC boleh terhasil daripada pelbagai cara seperti penggunaan peti sejuk, bahan peyembur, bahan pelarut, produk berasaskan polisterin dan juga perindustrian perkilangan.



Masalah penipisan lapisan ozon yang semakin meruncing ini telah mendapat perhatian daripada banyak pihak terutamanya persatuan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP)



Selain itu, penduduk dunia juga kini telah mula memandang serius masalah tersebut dan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik dalam usaha memastikan generasi masa depan dapat mewarisi alam sekitar yang selamat.