30 April 2010

Tangani fenomena pemanasan global


Oleh Mohd. Subhi Marsan



BARU-BARU ini, Parlimen telah berbahas mengenai isu pemanasan global yang memberi kesan kepada keadaan iklim dan cuaca negara ini. Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk S. Sothinathan dalam sesi perbahasan berkata tiada jaminan kejadian seperti banjir di Johor awal tahun lalu tidak berulang dan menerima taburan hujan yang tinggi daripada paras normal.



Pemanasan global ialah keadaan alam sekitar yang mengalami peningkatan suhu yang tinggi berbanding suhu normal.



Pemanasan berlaku di seluruh dunia yang diakibatkan oleh aktiviti manusia seperti penebangan hutan, kegiatan perkilangan dan industri, permotoran, penerokaan hutan, pembangunan �hutan batu� dan pengautan khazanah-khazanah alam sama ada di atas atau di dalam perut bumi.



Kesan saintifik pemanasan global ialah tahap pencairan salji di Kutub Utara semakin tinggi, paras air laut meningkat dan keluasan saiz daratan semakin mengecil. Kesan material ialah kejadian bencana alam seperti kemarau, banjir dan kebakaran manakala kesan kemanusiaan termasuklah kehilangan nyawa dan kecederaan.



Sebelum ini, kita pernah menyalahkan negara jiran kononnya menjadi punca keadaan jerebu dan pemanasan kawasan hampir seluruh negara yang diakibatkan aktiviti pembakaran hutan di negara tersebut.



Namun demikian, jika kita kaji dan teliti sebenarnya tidak banyak berlaku perubahan pemanasan alam sekitar sama ada semasa jerebu ataupun tidak. Mengapa keadaan ini berlaku? Faktor kebakaran hutan hanyalah sebagai sebahagian penyumbang kepada pemanasan global. Banyak faktor lain yang mempengaruhi pemanasan alam sekitar ini.



Ahli-ahli sains dan geografi sependapat mengatakan punca utama pemanasan global ialah nipisnya lapisan ozon yang diakibatkan oleh pelepasan gas khususnya klorofluorokarbon (CFC).



Jika kita prihatin dan sedar, tahun 2005 adalah musim berlakunya ribut taufan yang sangat aktif. Difahamkan sebanyak 26 kejadian ribut dan 14 kejadian puting beliung telah berlaku. Buat pertama kali, taufan ganas iaitu Katrina, Rita dan Wilma terjadi dalam satu musim. Kejadian ribut taufan ini bukan sahaja melanda Benua Amerika, malahan menyerang juga negara China, Korea, dan pantai sekitar Laut China Utara.



Pada tahun lepas pula dikhabarkan penduduk di beberapa negara di Afrika yang lazimnya terkenal sebagai negara panas kerana mempunyai kawasan gurun yang sangat luas telah menyaksikan salji dalam tempoh 25 tahun.



Di Eropah pula, diberitakan bahawa banyak kematian berlaku yang berpunca daripada kepanasan melampau pada bulan Julai lalu dan di Paris sahaja, seramai 29 orang telah maut. Walaupun kejadian ini tidak tidak seburuk kepanasan yang berlaku pada tahun 2003 yang menyebabkan kira-kira 15,000 maut di Perancis dan 20,000 telah maut di Itali.



Sebuah jurnal terkenal melaporkan bahawa keadaan kemarau panjang serta panas dan kering telah menyebabkan kebakaran hutan yang memusnahkan lebih daripada 8.5 juta ekar kawasan dunia dan menghapuskan lebih 1 juta spesies hidupan di darat dalam jangka masa 50 tahun. Kejadian ini ada kaitannya dengan pemanasan global.



Sebenarnya, isu peningkatan suhu atau pemanasan terjadi disebabkan pelbagai faktor. Selain daripada penipisan ozon, kejadian kemarau dan jerebu, kejadian pulau haba dan kesan rumah hijau juga memberi galakan kepada isu pemanasan global.



Kesan rumah hijau terjadi kerana berlakunya peningkatan pelepasan gas seperti karbon dioksida, nitrogen monoksida dan metana ke atmosfera seumpama pembebasan CFC. Pulau haba pula berlaku apabila pelepasan haba di kawasan membangun khususnya di bandar-bandar terlalu banyak dan tersekat oleh bangunan-bangunan tinggi pencakar langit. Haba yang tidak dapat dilepaskan ke atmosfera itu akan membahangi kawasan sekitar.



Kesan dan bahang pemanasan global juga telah mengganggu sistem cuaca dan iklim di negara kita secara tidak langsung. Iklim Khatulistiwa dengan panas dan lembap sepanjang tahun telah tidak berada pada paras yang normal.



Kejadian banjir besar di Johor pada awal tahun lalu itu adalah antara kejadian yang membuka mata banyak pihak di negara kita.



Amaran

Peristiwa banjir besar yang menenggelamkan sebahagian petempatan di Lembah Klang seperti di Batu Tiga dan Taman Tun Dr. Ismail juga memberi kesan mendalam dan seolah-olah mahu memberikan amaran kepada negara kita bahawa peristiwa besar itu tidak akan berhenti malah akan terjadi pada bila-bila masa.



Umpama peribahasa, �sediakan payung sebelum hujan� dan �mencegah lebih baik daripada mengubati�, langkah-langkah awal pencegahan atau meminimumkan kesannya adalah perlu supaya kejadian seperti itu tidak memburukkan imej pengurusan alam sekitar dan pembangunan negara.



Negara tidak boleh berkompromi dengan tanggungjawab sosial menjaga dan memelihara alam sekitar. Pendidikan alam sekitar kepada generasi muda perlu dimulakan sejak di rumah atau di bangku sekolah lagi.



Pendidikan kepada generasi tua juga penting dilakukan kerana ada golongan yang kaya, mewah dan berpelajaran tetapi tidak mengambil berat soal alam sekitar.



Pusat pengajian tinggi atau jabatan-jabatan tertentu mesti melakukan kajian agar kejadian yang disebabkan oleh fenomena alam termasuk pemanasan dunia dapat boleh diminimumkan kesannya.



Langkah-langkah lain boleh juga dilakukan seperti penanaman hutan semula, kitar semula, kempen kesedaran dan penggunaan sumber tenaga yang mesra alam. Kejayaan melaksanakan tugasan ini akan memberi keselesaan dan keselamatan kepada penduduk.



Langkah-langkah negara lain seperti sistem Green Dot di Jerman, cukai bahan buangan di Denmark dan mengharamkan pengedaran beg plastik dan alas meja pakai buang di Taiwan patut menjadi teladan dan dorongan ke arah mesra alam sekitar di negara ini.



Green Dot di Jerman ialah sistem kitar semula bahan-bahan pembungkus. Bahan-bahan pembungkus yang mempunyai green dot ini akan dikutip, diasingkan dan dikitar semula.



Cukai bahan buangan di Denmark yang dihantar ke pusat pelupusan dan insinerator akan dikenakan tetapi tidak kepada bahan buangan yang akan dikitar semula. Pembuangan, dan pembakaran beg plastik pula memberi kesan buruk kepada persekitaran kerana menjadi punca sampah dan kekotoran.



Isu pemanasan global adalah isu dunia dan bukan sahaja negara kita yang terlibat. Sumbangan negara kita ke atas pemanasan global mungkin tidak seberapa namun, sebagai satu sumbangan global, negara kita juga perlu melaksanakan ikhtiar agar tidak menyumbang untuk memanaskan alam sekitar.

11 April 2010

HIDROLOOGI

Sumber air tanah tak mudah tercemar


Oleh Habsah Dinin dan Mona Ahmad

bhnews@bharian.com.my

2010/04/11


SUMBER air tanah kaya dengan bahan mineral boleh terus digunakan sebagai air minuman, tetapi perlu diuji terlebih dulu.KELEBIHAN dan kebaikan air tanah memang tidak dapat dinafikan. Ia juga sumber air yang tidak mudah terdedah dengan pencemaran bukan seperti air permukaan.


Sumber air tanah yang kaya dengan bahan mineral boleh terus digunakan sebagai air minuman, tetapi perlu terlebih dulu diuji kesesuaiannya sebelum digunakan orang ramai. Pensyarah Jabatan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Shaharin Ibrahim, berkata bukan semua air tanah mempunyai rasa yang sama kerana ia bergantung kepada jenis batuan di mana air itu dikeluarkan. “Lazimnya, air tanah dari kawasan granit dikenali sebagai `sweet water’ kerana ia lebih sedap berbanding air tanah di kawasan batuan jenis lain. Lebih menarik ialah kebanyakan kawasan di Banjaran Titiwangsa di Semenanjung adalah terdiri daripada batuan granit,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di kampus UPM, Serdang, baru-baru ini.


Dr Shaharin berkata pelbagai kaedah perlu dilaksanakan sebelum satu-satu kawasan itu boleh dibina telaga untuk mengeluarkan air tanah dalam skala yang besar.
Katanya, langkah pertama ialah mengenal pasti kawasan yang ada air tanah menerusi pengimejan satelit.


“Menerusi pengimejan satelit, kita boleh melihat kedudukan air tanah dalam lingkungan 100 hingga 140 meter ke dalam bumi,” katanya.

Apabila, satu-satu kawasan itu dikenal pasti, barulah pasukan yang terdiri daripada mereka yang mahir dan terlatih serta dilengkapi peralatan geofizik ke lokasi berkenaan untuk mencari air tanah dengan menggunakan teknik pengimejan kerintangan elektrik dan pengkhutupan teraroh (induced polarization).

“Proses ini agak sukar kerana pasukan terbabit terpaksa mencari jalan untuk ke kawasan yang dikenal pasti mempunyai potensi air tanah yang banyak. Ada kalanya kawasan itu tiada jalan masuk dan berada di tengah-tengah hutan belantara,” katanya.
Dr Shaharin berkata selain itu, aspek penting yang perlu ditekankan ialah mengenal pasti kawasan tercemar dan mengelak daripada membangun air tanah di kawasan itu.
Katanya, walaupun air tanah tidak mudah tercemar berbanding air permukaan tetapi ia tidak lari dari pencemaran dalaman.
Justeru, bagi mengelakkan berlakunya sebarang pencemaran, telaga perlu dibina di kawasan selamat termasuk tidak berada di lingkungan kawasan yang terdedah dengan pencemaran seperti tapak pelupusan sampah.

Beliau berkata langkah seterusnya adalah melakukan kerja penggerudian dan mencari tempat yang sesuai untuk dibina telaga.

Proses penggerudian adalah langkah yang paling mencabar kerana ada kalanya mata gerudi tidak boleh masuk jauh ke dalam bumi berikutan pelbagai masalah lubang gerudi,” katanya.

Katanya, semasa proses pembinaan telaga, sampel air akan dikumpulkan daripada setiap lapisan tanah yang mengandungi air dan dikaji di makmal sebelum ia dipastikan selamat untuk diguna.

Lazimnya, rawatan untuk air tanah adalah pada kadar yang minimum berbanding air permukaan.

Di samping itu, enap cemar yang terhasil daripada rawatan air tanah adalah jauh lebih sedikit berbanding yang terhasil daripada rawatan air permukaan kerana kejernihan air tanah.
Selain menggunakan pengimejan satelit, teknik terbaru yang digunakan untuk mengesan air tanah ialah gelombang radio dan ia boleh mengenal pasti lokasi rekahan dalam batuan yang berpotensi untuk membekalkan air.