21 Mei 2010

JEREBU

Apakah Itu Jerebu?




Jerebu disebabkan oleh zarah terampai di dalam atmosfera. Pada kepekatan yang tingg, zarah ini terserak dan menyerap cahaya matahari menyebabkan ketampakan mengufuk mengurang serta menjadikan atmosfera kelihatan pendar baiduri.



Jerebu tidak hanya terbatas di kawasan bandar tetapi juga di luar bandar. Zarah yang menyebabkan fenomena jerebu berasal daripada pelbagai sumber yang terhasil secara semulajadi atau aktiviti manusia.



Zarah-zarah terhasil daripada aktiviti manusia seperti:



Pembakaran terbuka

Pembukaan tanah

Penggunaan kenderaan bermotor

Pembakaran bahan api industri



Jerebu di Malaysia



Di kawasan tropika , angin biasanya bertiup perlahan. Bagi tempoh tertentu terutamanya semasa monsun barat daya, keadaan atmosfera sangat stabil dimana pergerakan udara mengufuk dan menegak berkurangan. Dalam keadaan ini, pembentukan awam adalah tidak aktif dan menyebabkan cuaca menjadi kering.



Faktor-faktor yang membantu pembentukan jerebu:



Tempoh cuaca kering yang panjang

Keadaan atmosfera yang stabil

Sumber pencemaran yang pelbagai
Zarah-zarah yang bebas di atmosfera akan terperangkap dalam jisim udara yang terapung dan meningkatkan kepekatannya yang menyebabkan keadaan atmosfera berjerebu. Di Semenanjung Malaysia, keadaan berjerebu biasanya berlaku dari bulan Januari ke Februari dan Jun ke Ogos. Sebaliknya, semasa Monsun Timur Laut, angin lengas timur laut bertiup kuat dari Laut China Selatan mempunyai kelembapan tinggi sering membawa hujan di daratan, oleh itujerebu jarang kelihatan.


Bagaimana Jerebu Menghilang?



Dalam keadaan atmosfera yang berubah-ubah, terdapat hari yang berjerebu dan cerah. Apakah yang menyebabkan perubahan ini? Bila keadaan berjerebu, zarah-zarah di atmosfera disingkirkan melalui beberapa proses iaitu:



Pemendapan – zarah yang lebih berat mendap ke bumi melalui pemendapan graviti.

Basuhan hujan (rainout) – pemeluwapan wap ke atas zarah membentuk titis air yang akhirnya menghasilakan awan.



Cucian (washout) – zarah disingkirkan melalui pelanggaran dan pencantuman dengan titisan hujan.



Pergolakan – zarah jerebu di paras atmosfera tinggi lebih senang terserak dan tersebar. Hujan lebat atau ribut petir yang menyeluruh dengan arus menaik dan menurun yang kuat boleh menyingkirkan jerebu dengan berkesan.

Tempoh hujan renyai yang singkat biasanya tidak berkesan dalam menghilangkan jerebu teruk.

Adakah Jerebu Berbahaya?



Jerebu berasal daripada sumber semulajadi seperti garam laut dan tanah adalah tidak memudharatkan manusia. Jerebu nipis dan sementara yang wujud di kebanyakan bandar tidak memberi kesan serius pada kesihatan jangka panjang penduduk. Namun, episod jerebu yang teruk boleh membahayakan kesihatan. Kejadian terdahulu melaporkan peningkatan kejadian iritasi mata dan kerongkong serta kesukaran bernafas kepada mereka yang sensitif.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan