30 April 2010

Tangani fenomena pemanasan global


Oleh Mohd. Subhi Marsan



BARU-BARU ini, Parlimen telah berbahas mengenai isu pemanasan global yang memberi kesan kepada keadaan iklim dan cuaca negara ini. Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk S. Sothinathan dalam sesi perbahasan berkata tiada jaminan kejadian seperti banjir di Johor awal tahun lalu tidak berulang dan menerima taburan hujan yang tinggi daripada paras normal.



Pemanasan global ialah keadaan alam sekitar yang mengalami peningkatan suhu yang tinggi berbanding suhu normal.



Pemanasan berlaku di seluruh dunia yang diakibatkan oleh aktiviti manusia seperti penebangan hutan, kegiatan perkilangan dan industri, permotoran, penerokaan hutan, pembangunan �hutan batu� dan pengautan khazanah-khazanah alam sama ada di atas atau di dalam perut bumi.



Kesan saintifik pemanasan global ialah tahap pencairan salji di Kutub Utara semakin tinggi, paras air laut meningkat dan keluasan saiz daratan semakin mengecil. Kesan material ialah kejadian bencana alam seperti kemarau, banjir dan kebakaran manakala kesan kemanusiaan termasuklah kehilangan nyawa dan kecederaan.



Sebelum ini, kita pernah menyalahkan negara jiran kononnya menjadi punca keadaan jerebu dan pemanasan kawasan hampir seluruh negara yang diakibatkan aktiviti pembakaran hutan di negara tersebut.



Namun demikian, jika kita kaji dan teliti sebenarnya tidak banyak berlaku perubahan pemanasan alam sekitar sama ada semasa jerebu ataupun tidak. Mengapa keadaan ini berlaku? Faktor kebakaran hutan hanyalah sebagai sebahagian penyumbang kepada pemanasan global. Banyak faktor lain yang mempengaruhi pemanasan alam sekitar ini.



Ahli-ahli sains dan geografi sependapat mengatakan punca utama pemanasan global ialah nipisnya lapisan ozon yang diakibatkan oleh pelepasan gas khususnya klorofluorokarbon (CFC).



Jika kita prihatin dan sedar, tahun 2005 adalah musim berlakunya ribut taufan yang sangat aktif. Difahamkan sebanyak 26 kejadian ribut dan 14 kejadian puting beliung telah berlaku. Buat pertama kali, taufan ganas iaitu Katrina, Rita dan Wilma terjadi dalam satu musim. Kejadian ribut taufan ini bukan sahaja melanda Benua Amerika, malahan menyerang juga negara China, Korea, dan pantai sekitar Laut China Utara.



Pada tahun lepas pula dikhabarkan penduduk di beberapa negara di Afrika yang lazimnya terkenal sebagai negara panas kerana mempunyai kawasan gurun yang sangat luas telah menyaksikan salji dalam tempoh 25 tahun.



Di Eropah pula, diberitakan bahawa banyak kematian berlaku yang berpunca daripada kepanasan melampau pada bulan Julai lalu dan di Paris sahaja, seramai 29 orang telah maut. Walaupun kejadian ini tidak tidak seburuk kepanasan yang berlaku pada tahun 2003 yang menyebabkan kira-kira 15,000 maut di Perancis dan 20,000 telah maut di Itali.



Sebuah jurnal terkenal melaporkan bahawa keadaan kemarau panjang serta panas dan kering telah menyebabkan kebakaran hutan yang memusnahkan lebih daripada 8.5 juta ekar kawasan dunia dan menghapuskan lebih 1 juta spesies hidupan di darat dalam jangka masa 50 tahun. Kejadian ini ada kaitannya dengan pemanasan global.



Sebenarnya, isu peningkatan suhu atau pemanasan terjadi disebabkan pelbagai faktor. Selain daripada penipisan ozon, kejadian kemarau dan jerebu, kejadian pulau haba dan kesan rumah hijau juga memberi galakan kepada isu pemanasan global.



Kesan rumah hijau terjadi kerana berlakunya peningkatan pelepasan gas seperti karbon dioksida, nitrogen monoksida dan metana ke atmosfera seumpama pembebasan CFC. Pulau haba pula berlaku apabila pelepasan haba di kawasan membangun khususnya di bandar-bandar terlalu banyak dan tersekat oleh bangunan-bangunan tinggi pencakar langit. Haba yang tidak dapat dilepaskan ke atmosfera itu akan membahangi kawasan sekitar.



Kesan dan bahang pemanasan global juga telah mengganggu sistem cuaca dan iklim di negara kita secara tidak langsung. Iklim Khatulistiwa dengan panas dan lembap sepanjang tahun telah tidak berada pada paras yang normal.



Kejadian banjir besar di Johor pada awal tahun lalu itu adalah antara kejadian yang membuka mata banyak pihak di negara kita.



Amaran

Peristiwa banjir besar yang menenggelamkan sebahagian petempatan di Lembah Klang seperti di Batu Tiga dan Taman Tun Dr. Ismail juga memberi kesan mendalam dan seolah-olah mahu memberikan amaran kepada negara kita bahawa peristiwa besar itu tidak akan berhenti malah akan terjadi pada bila-bila masa.



Umpama peribahasa, �sediakan payung sebelum hujan� dan �mencegah lebih baik daripada mengubati�, langkah-langkah awal pencegahan atau meminimumkan kesannya adalah perlu supaya kejadian seperti itu tidak memburukkan imej pengurusan alam sekitar dan pembangunan negara.



Negara tidak boleh berkompromi dengan tanggungjawab sosial menjaga dan memelihara alam sekitar. Pendidikan alam sekitar kepada generasi muda perlu dimulakan sejak di rumah atau di bangku sekolah lagi.



Pendidikan kepada generasi tua juga penting dilakukan kerana ada golongan yang kaya, mewah dan berpelajaran tetapi tidak mengambil berat soal alam sekitar.



Pusat pengajian tinggi atau jabatan-jabatan tertentu mesti melakukan kajian agar kejadian yang disebabkan oleh fenomena alam termasuk pemanasan dunia dapat boleh diminimumkan kesannya.



Langkah-langkah lain boleh juga dilakukan seperti penanaman hutan semula, kitar semula, kempen kesedaran dan penggunaan sumber tenaga yang mesra alam. Kejayaan melaksanakan tugasan ini akan memberi keselesaan dan keselamatan kepada penduduk.



Langkah-langkah negara lain seperti sistem Green Dot di Jerman, cukai bahan buangan di Denmark dan mengharamkan pengedaran beg plastik dan alas meja pakai buang di Taiwan patut menjadi teladan dan dorongan ke arah mesra alam sekitar di negara ini.



Green Dot di Jerman ialah sistem kitar semula bahan-bahan pembungkus. Bahan-bahan pembungkus yang mempunyai green dot ini akan dikutip, diasingkan dan dikitar semula.



Cukai bahan buangan di Denmark yang dihantar ke pusat pelupusan dan insinerator akan dikenakan tetapi tidak kepada bahan buangan yang akan dikitar semula. Pembuangan, dan pembakaran beg plastik pula memberi kesan buruk kepada persekitaran kerana menjadi punca sampah dan kekotoran.



Isu pemanasan global adalah isu dunia dan bukan sahaja negara kita yang terlibat. Sumbangan negara kita ke atas pemanasan global mungkin tidak seberapa namun, sebagai satu sumbangan global, negara kita juga perlu melaksanakan ikhtiar agar tidak menyumbang untuk memanaskan alam sekitar.

11 April 2010

HIDROLOOGI

Sumber air tanah tak mudah tercemar


Oleh Habsah Dinin dan Mona Ahmad

bhnews@bharian.com.my

2010/04/11


SUMBER air tanah kaya dengan bahan mineral boleh terus digunakan sebagai air minuman, tetapi perlu diuji terlebih dulu.KELEBIHAN dan kebaikan air tanah memang tidak dapat dinafikan. Ia juga sumber air yang tidak mudah terdedah dengan pencemaran bukan seperti air permukaan.


Sumber air tanah yang kaya dengan bahan mineral boleh terus digunakan sebagai air minuman, tetapi perlu terlebih dulu diuji kesesuaiannya sebelum digunakan orang ramai. Pensyarah Jabatan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Shaharin Ibrahim, berkata bukan semua air tanah mempunyai rasa yang sama kerana ia bergantung kepada jenis batuan di mana air itu dikeluarkan. “Lazimnya, air tanah dari kawasan granit dikenali sebagai `sweet water’ kerana ia lebih sedap berbanding air tanah di kawasan batuan jenis lain. Lebih menarik ialah kebanyakan kawasan di Banjaran Titiwangsa di Semenanjung adalah terdiri daripada batuan granit,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di kampus UPM, Serdang, baru-baru ini.


Dr Shaharin berkata pelbagai kaedah perlu dilaksanakan sebelum satu-satu kawasan itu boleh dibina telaga untuk mengeluarkan air tanah dalam skala yang besar.
Katanya, langkah pertama ialah mengenal pasti kawasan yang ada air tanah menerusi pengimejan satelit.


“Menerusi pengimejan satelit, kita boleh melihat kedudukan air tanah dalam lingkungan 100 hingga 140 meter ke dalam bumi,” katanya.

Apabila, satu-satu kawasan itu dikenal pasti, barulah pasukan yang terdiri daripada mereka yang mahir dan terlatih serta dilengkapi peralatan geofizik ke lokasi berkenaan untuk mencari air tanah dengan menggunakan teknik pengimejan kerintangan elektrik dan pengkhutupan teraroh (induced polarization).

“Proses ini agak sukar kerana pasukan terbabit terpaksa mencari jalan untuk ke kawasan yang dikenal pasti mempunyai potensi air tanah yang banyak. Ada kalanya kawasan itu tiada jalan masuk dan berada di tengah-tengah hutan belantara,” katanya.
Dr Shaharin berkata selain itu, aspek penting yang perlu ditekankan ialah mengenal pasti kawasan tercemar dan mengelak daripada membangun air tanah di kawasan itu.
Katanya, walaupun air tanah tidak mudah tercemar berbanding air permukaan tetapi ia tidak lari dari pencemaran dalaman.
Justeru, bagi mengelakkan berlakunya sebarang pencemaran, telaga perlu dibina di kawasan selamat termasuk tidak berada di lingkungan kawasan yang terdedah dengan pencemaran seperti tapak pelupusan sampah.

Beliau berkata langkah seterusnya adalah melakukan kerja penggerudian dan mencari tempat yang sesuai untuk dibina telaga.

Proses penggerudian adalah langkah yang paling mencabar kerana ada kalanya mata gerudi tidak boleh masuk jauh ke dalam bumi berikutan pelbagai masalah lubang gerudi,” katanya.

Katanya, semasa proses pembinaan telaga, sampel air akan dikumpulkan daripada setiap lapisan tanah yang mengandungi air dan dikaji di makmal sebelum ia dipastikan selamat untuk diguna.

Lazimnya, rawatan untuk air tanah adalah pada kadar yang minimum berbanding air permukaan.

Di samping itu, enap cemar yang terhasil daripada rawatan air tanah adalah jauh lebih sedikit berbanding yang terhasil daripada rawatan air permukaan kerana kejernihan air tanah.
Selain menggunakan pengimejan satelit, teknik terbaru yang digunakan untuk mengesan air tanah ialah gelombang radio dan ia boleh mengenal pasti lokasi rekahan dalam batuan yang berpotensi untuk membekalkan air.

29 Mac 2010

MODUL PEMBELAJARAN - TEMA 4 : SISTEM HIDROLOGI

TEMA: SISTEM HIDROLOGI


a) Menerangkan konsep Imbangan air

Imbangan air merupakan keseimbangan antara jumlah air yang diterima dari atmosfera dengan jumlah air yang keluar ke atmosfera. Jumlah air yang diterima oleh permukaan bumi dalam bentuk kerpasan seperti hujan, embun dan salji adalah sama banyaknya dengan yang akan dibebaskan semula ke atmosfera menerusi proses sejat-peluhan, sejatan yang mengalami larian permukaan dan juga yang disimpan di dalam tanah sebagai storan. Formulanya ialah: (P=ET + dST + S)

P = Jumlah air yang diterima daripada kerpasan.

ET = Jumlah air yang hilang melalui proses sejat peluhan

dST= air yang diterima atau hilang dari lapisan-lapisan tanah.

S = Air yang berlebihan atau storan (simpanan air )



i) Lebihan air

Lebihan air merupakan Imbangan air positif,yang bermaksud jumlah kerpasan melebihi sejatan. Apabila jumlah kerpasan terutama hujan yang turun ke bumi melebihi daripada kadar sejatan air ke atmosfera dalam tempoh yang panjang, ia boleh menyebabkan fenomena banjir.

ii) Kurangan air

Kurangan air atau imbangan air negatif ditakrifkan sebagai kekurangan air yang dialami oleh sesebuah kawasan dalam tempoh tertentu. Dalam hal ini, kadar sejatan melebihi daripada kerpasan (hujan) yang turun di kawasan berkenaan. Kesan daripada imbangan air negatif yang dialami oleh sesebuah kawasan itu ialah berlakunya fenomena kemarau.

b) Faktor-faktor mempengaruhi variasi imbangan air


i. Topografi dan aspek

Cerun-cerun di kawasan tanah tinggi dan banjaran gunung yang menghadap angin akan mendapat lebih banyak hujan daripada kawasan lindungan hujan. Contohnya dikawasan pantai barat Banjaran Rocky mendapat lebih banyak hujan daripada kawasan lindungan di timur. Oleh itu di bahagian timur terdapat kawasan Prairie yang lebih kering.

ii. Hujan

Hujan yang lebat boleh membekalkan air yang berlebihan sehingga tidak dapat ditampung oleh sistem saliran di permukaan bumi. Kesannya boleh meningkatkan air di permukaan bumi sehingga berlaku banjir. Manakala pengurangan imput hujan pula boleh mempengaruhi kepasiti storan air tanih dan menyebabkan sungai yang mengalir tidak mempunyai bekalan air yang mencukupi.

iii. Tumbuhan

Litupan tumbuhan tebal seperti hutan hujan khatulistiwa membantu kadar susupan yang tinggi dan meningkatkan jumlah air dalam tanah kerana titisan air hujan cenderung untuk meresap masuk ke dalam tanih daripada mengalir di permukaan. Tumbuhan juga boleh meningkatkan kehilangan air melalui proses sejat peluhan.dan menjamin kelembapan udara, seterusnya membentuk awan yang boleh menurunkan hujan.Kekurangan tumbuhan menyebabkan persekitaran menjadi kering,,sejatan meningkat maka hujan akan berkurangan,kurangan air akan berlaku..

iv. Ketelapan tanih dan ciri batuan

Tanah yang berstruktur longgar dan bertekstur kasar seperti batu pasir dan kerikil lebih cepat kehilangan air berbanding tanah berstruktur padat dan bertekstur halus seperti tanah liat yang menggalakkan air bertakung dan menyebabkan lebihan air.

v. Kehadiran badan air

Kewujudan sumber-sumber air permukaan seperti sungai, tasik, kolam dan lain-lain boleh menjadi pembekal utama kepada system akuifer dan membantu meningkatkan sejatan dan kerpasan, seterusnya mempengaruhi imbangan air

vi. Tindakan manusia.

Pembangunan yang pesat yang melibatkan penyahutanan untuk pembinaan

petempatan,perindustrian dan lain-lain akan menyebabkab kurangan

air.Kekurangan hutan menyebabkan kurangnya simpanan air tanih untuk

dibekalkan secara tetap kepada sungai.Pembandaran yang pesat

menyebabkan permukaan bumi diturap,kadar susupan air berkurangan menyebabkan simpanan air tanih berkurangan.Keadaan ini boleh menyebabkan

banjir kilat mudah berlaku apabila berlaku hujan.



c) Proses-proses dalam edaran air tanih

i. Larian air permukaan

Air hujan yang turun sebahagiannya akan meresap ke dalam tanah dan selepas daya resapan dipenuhi, air hujan yang lain akan mengalir di atas permukaan bumi atau cerun. Ia boleh terbentuk apabila kelebatan hujan melebihi kadar resapan tanah.

ii Resapan/infiltrasi/susupan

Pergerakan air hujan yang berlaku secara menegak iaitu menerusi liang-liang pori tanah atau menerusi ruang-ruang udara yang ada dalam tanah. Tanah pasir mempunyai kadar ketelusan yang tinggi kerana liang pori batuannya besar dan banyak. Proses ini membekalkan air tanih.


iii Aliran air bawah tanah

Air mengalir secara perlahan melalui liang dalam batuan di bawah permukaan. Ia mengalir kerana terdapat perbezaan tekanan dan kecerunan.Air dari bahagian atas zon tepu mengalir menuruni cerun aras mata air dan akan sampai ke lurah dan meresap keluar ke sungai, tasik atau paya.

iv Simpanan air tanih

Simpanan air tanih adalah yang terkumpul di zon tepu dan zon tidak tepu. Air tanih di zon tepu ialah air yang wujud di dalam semua rongga pori tanih yang terletak di bawah lapisan tanih yang mana menyumbang kepada air perigi dan mata air. Manakala air yang tersimpan di zon pengudaraan iaitu zon tidak tepu terletak berhampiran di permukaan bumi. Air tanih ini tersimpan dalam tanih dan dipengaruhi oleh tegangan, dan air tanih ini menentukan nilai kelembapan tanih.

v Keporosan dan ketelapan

Sifat sesuatu batuan yang mempunyai liang atau ruang antara batuan yang boleh ditakungi oleh air bawah tanah. Keporosan sesuatu tanah di pengaruhi oleh struktur susunan partikel tanah, komposisi saiz partikel tanah, kandungan air di dalam tanah, ciri-ciri batuan dan litupan tumbuh-tumbuhan. Sifat keporosan dan ketelapan merupakan ciri penting dalam menentukan kemampuan batu batan menakung dan memindahkan air.

vi Akuifer

Akuifer ialah tempat batuan untuk menakung air. Air akan meresap perlahan-lahan ke bawah tanah melalui liang-liang batuan dan resapan akan terhenti apabila telah sampai ke batuan tidak telap air. Akuifer juga merupakan tempat simpanan air bawah tanah dan juga nadi untuk pergerakan air bawah tanah. Ia juga sebagai pengawal aliran semulajadi iaitu meresap air semasa hujan lebat untuk mengurangkan kadar aliran air tanah yang terlalu cepat dan membekalkan air kepada alur sungai pada masa kekurangan air hujan atau musim kering.

d Kepentingan sumber air ke atas aktiviti manusia

i Kegunaan domestik

Air dapat digunakan bagi melaksanakan pelbagai aktiviti kehidupan harian seperti minuman,mencuci dan keperluan-keperlun lain.Sumber air yang utama adalah dari sungai-sungai,conthnya Sungai Muda di Kedah,Sungai Pahang di Pahang dan lain-lain.

ii Pertanian

Sektor pertanian merupakan sektor yang paling banyak bergantung kepada sumber air.Empangan di bina untuk membekalkan air dan mengawal input output air kepada kawasan tanaman khususnya padi sawah. Ia dilaksanakan melalui projek-projek perairan untuk pertanian khususnya untuk tanaman padi sawah. Contohnya pengairan telah membantu meluaskan penanaman padi di Malaysia seperti rancangan pengairan Muda di Kedah, Kemubu di Kelantan.

iii Industri

Sumber air penting dalam industri makanan, pakaian, besi dan keluli. Air digunakan dalam pelbagai cara terutamanya sebagai pencuci dan membersih produk-produk atau hasil perindustrian. Sektor perkilangan juga memerlukan bekalan air bersih yang berterusan contohnya dalam industri pemprosesan kertas dan petrokimia.

iv Kegunaan pengangkutan
Sungai, selat, terusan digunakan untuk mengangkut barangan dan penduduk khususnya dikawasan pedalaman. Sungai sebagai sistem pengangkutan air yang murah dan mudah, tidak memerlukan kos yang tinggi. Juga sebagai pengangkutan utama di kawasasn pedalaman yang sukar dihubungi jalan darat. Contonya sungai Rajang di Sarawak dan sungai Kinabatangan di sabah.

v Rekreasi, eko pelancongan dan sukan air

Sumber air dapat menambahkan keindahan tempat-tempat rekreasi dan tarikan pelancong seperti tasik dan air terjun. Contohnya, air terjun kota Tinggi di Johor. Pembinaan chalet-chalet terapung, resort dan rumah rehat, pusat sukan air seperti aktiviti berkayak, berkelah dapat dijalankan di kawasan jeram dan air terjun.

08 Mac 2010

FENOMENA CUACA

Apakah El Nino ?


Setiap tiga ke tujuh tahun, suatu arus laut yang panas menggantikan suatu arus laut yang kebiasaannya sejuk di luar pantai Peru, Amerika Selatan. Fenomena lautan yang diperhatikan ini dipanggil El Nino. Pemanasan lautan ini didapati berlaku di kawasan yang luas meliputi Pasifik tengah dan timur serta mempunyai kaitan dengan keadaan kejadian luar biasa cuaca yang ketara di tempat-tempat tertentu di dunia seperti banjir yang teruk dan kemarau yang berpanjangan. Di Asia Tenggara, Indonesia dan Australia, keadaan-keadaan lebih kering dari normal berlaku sementara di Pasifik tengah dan timur berhampiran khatulistiwa kebiasaannya lembap dialami.



Secara lazimnya, El Nino berlaku untuk tempoh 9 ke 18 bulan. Biasanya ia mula terbentuk pada awal tahun, berada dikemuncak pada akhir tahun dan menjadi lemah pada awal tahun yang berikutnya. El Nino yang mempunyai keamatan yang sama tidak semestinya menghasilkan corak iklim yang sama.


Bagaimana El Nino dikaitkan dengan keadaan-keadaan atmosfera?

Semasa El Nino, perairan yang lebih panas di Pasifik tengah dan timur membekalkan haba dan lembapan tambahan kepada atmosfera yang berada di atasnya. Ini mendorong pergerakan menaik yang kuat dan dengan demikian merendahkan tekanan permukaan di dalam kawasan pergerakan menaik itu. Udara lembap yang naik itu terpeluwap lalu membentuk kawasan ribut petir yang luas dan hujan lebat di kawasan berkenaan. Di bahagian barat Pasifik termasuk Malaysia, tekanan atmosfera meningkat, menyebabkan cuaca menjadi lebih kering.


120oE 80o W



Di rajah di atas, tekanan permukaan atmosfera rendah (L) terletak dalam permukaan perairan lautan yang lebih panas.



Semasa ketiadaan El Nino, tekanan permukaan di Pasifik barat biasanya rendah manakala di tengah dan timur Pasifik adalah tinggi. Di bawah keadaan ini, pada amnya Pasifik barat adalah lembap sementara Pasifik tengah dan timur adalah kering.




Corak tekanan permukaan yang berselang-seli di kawasan tropika Lautan Pasifik, yang mana keadaan lautan bertukar dari El Nino ke normal dipanggil Ayunan Selatan (SO). Hubungan di antara atmosfera dan lautan semasa kejadian El-Nino ini dikenali sebagai El Nino-Ayunan Selatan (El-Nino Southern Oscillation, ENSO).



Adakah fasa yang berlawanan dengan fasa El Nino (La Nina) ?



Pada masa-masa tertentu, walaupun tidak selalu, suhu permukaan laut di Pasifik tengah dan timur menjadi lebih rendah dari biasa. Fenomena ini di panggil La Nina - keadaan bertentangan dengan El Nino. Dalam keadaan ini, tekanan atmosfera permukaan di kawasan khatulistiwa Pasifik barat menurun, menyebabkan pembentukkan awan yang lebih dan hujan lebat.




Semasa keadaan-keadaan La Nina, tekanan atmosfera yang tinggi (H) terbentuk di Pasifik tengah dan timur manakala tekanan rendah (L) berkedudukan lebih ke arah Pasifik barat.



Bagaimana kita memantau El Nino dan reaksi atmosfera?



Parameter-parameter asas yang digunakan untuk memantau El Nino dan reaksi atmosfera termasuklah suhu permukaan laut di kawasan khatulistiwa Lautan Pasifik, suhu di bawah permukaan lautan sehingga ke kedalaman 150m, keadaan awan serta corak hujan yang luar biasa.



Oleh kerana tekanan atmosfera dan suhu laut berkait rapat, suatu indeks atmosfera yang dipanggil Indeks Ayunan Selatan (Southern Oscillation Index, SOI) juga digunakan untuk mengukur reaksi atmosfera ini. Indeks ini dihitung dari perbezaan keadaan turun-naik tekanan udara bulanan antara Tahiti (mewakili Pasifik timur) dan Darwin (mewakili Pasifik barat). Jika terdapat nilai negatif yang nyata bagi SOI, berpanjangan selama sekurang-kurangannya 6 bulan, kita mengalami keadaan EL Nino. Lebih besar nilai negatif lebih tinggi keamatan El Nino. Sebaliknya, nilai positif tinggi menunjukkan keadaan La Nina.



Southern Oscillation Index (SOI)



El Nino/La Nina yang kuat biasanya SOI yang berterusan mencapai nilai 1.5 atau lebih (negatif untuk El Nino) manakala kejadian yang sederhana indeksnya turun-naik antara 0.8 dan 1.5. El Nino yang lemah berlingkungan 0.4 dan 0.8.



Kekerapan berlakunya El Nino/La Nina



Sejak 50 tahun kebelakangan ini, El Nino telah berlaku sebanyak 12 kali. Dua kejadian El Nino yang terkuat pada abad yang lalu berlaku pada 1982-83 dan 1997-98. Jadual berikut menyenaraikan tahun-tahun di mana El Nino berlaku.



1951-1952

1953-1954

1957-1958

1965-1966



1969-1970

1972-1973

1977-1978

1982-1983



1986-1987

1991-1992

1994-1995

1997-1998





Kekerapan berlakunya La Nina adalah kurang jika dibandingkan dengan El Nino. Tahun-tahun di mana La Nina berlaku adalah disenaraikan di bawah:



1950-1951

1955-1956

1970-1971

1973-1974



1975-1976

1988-1989

1998-2000











Apakah perubahan iklim semasa El Nino?



Di kawasan tropika, aktiviti-aktiviti ribut petir berpindah dari Pasifik barat ke kawasan Pasifik tengah dan timur, menghasilkan keadaan kering yang luar biasa di Malaysia, Indonesia, Filipina dan Australia Utara semasa El Nino berlaku. Cuaca yang lebih panas dan kering juga berlaku di Afrika Tenggara, India dan Brazil Utara. Cuaca lebih lembap berlaku sepanjang pantai barat kawasan tropika Amerika Selatan dan pantai teluk di Amerika Utara seperti ditunjuk di rajah di bawah.





Apakah impak yang tipikal di Malaysia.?



Dengan kehadiran El Nino yang sederhana/kuat, taburan hujan di Sabah dan Sarawak akan berada jauh dibawah paras purata semasa monsun barat daya (Jun-Ogos) dan monsun timur laut (November-Februari), sebaliknya di Semenanjung Malaysia taburan hujan adalah dibawah paras purata hanya semasa monsun barat daya (Jun-Ogos).


Keadaan El Nino yang lemah dikenalpasti memberi impak yang minimum kepada taburan hujan di Malaysia. Tambahan pula, taburan hujan di bawah dan atas paras purata boleh juga berlaku dalam tahun-tahun yang bukan El Nino/La Nina.

Maklumat lanjut

Jabatan Meteorologi Malaysia sentiasa mengemaskini ramalan cuaca bermusim di dalam laman web di http://www.met.gov.my Jabatan boleh dihubungi di 03-79678000.